Wednesday, August 4, 2010

Tidak tahan cabaran


Kontraktor yang dilantik oleh Majlis Perbandaran Kajang nampaknya telah menghantar dua orang pekerja mereka untuk membersihkan kawasan yang dipenuhi rumput panjang di lot kosong tanah milik UDA Holdings Berhad. Tindakan ini tentunya ada kaitan dengan bil cukai pintu yang perlu dijelaskan oleh pemilik kediaman pada hujung bulan Ogos. Mungkin ada pihak yang membuat komplen atau itulah amalan yang boleh dikaitkan apabila bil cukai pintu dikeluarkan oleh pihak Majlis.



Pada 31 Julai 2010, penulis dapat melihat dua orang pekerja hadir di perkarangan lot kosong tanah milik UDA Holdings Berhad. Mereka membawa peralatan mesin pemotong rumput. Apapun di atas alasan yang dapat pembaca mengagak sendiri, pengarang tidak berani menghala lensa kamera ke arah mereka sewaktu mereka sedang menebas rumput.

Untuk memotong rumput yang hampir setahun tumbuh tidak disentuh ini pasti menguji ketabahan sesiapa juga yang memotongnya jika mereka menggunakan mesin alat pemotong yang digalas di atas bahu.


Seperti yang dapat dijangkakan iaitu selepas tiga hari berkerja memotong rumput yang panjang itu, pekerja-pekerja itu tidak hadir lagi. Luas kawasan yang berjaya ditebas ialah lebih kurang 20 persen daripada keseluruhan kawasan tersebut. Tahun lalu mereka meninggalkan 20 persen tapi pada tahun ini mereka cabut lari meninggalkan 80 persen baki yang belum ditebas.

Persoalannya, adakah pihak kontraktor membuat tuntutan penuh untuk kerja yang tidak siap dilaksanakan itu?

Jika pihak kontraktor berkenaan mendapat maklumat ini daripada sesiapa juga anggaplah ini satu maklumbalas agar perkara seperti ini tidak diulangi oleh pekerja-pekerja tuan pada masa akan datang.

Yang pastinya pemandangan yang memalukan ini akan terus menyakitkan mata serta hati penduduk kawasan ini.

Saturday, July 10, 2010

Bagai pahat dengan tukul....


Tunduk menyembah bumi....begitu panjangnya rumput serta lalang di Jalan Suasana 3/3 sehingga mereka tumbang dengan sendirinya, tiada pihak yang datang memotong.

Sekali komplen sekali ditebas, berbulan tidak komplen berbulan tidak ditebas. Begitulah adanyaa....






Cukup waktunya pasti bil cukai pintu daripada Majlis diterima.

Jumlah bayaran yang dikenakan 8.8% setahun, lebih kurang sama banyaknya dengan jumlah yang dicaskan oleh Majlis di daerah-daerah lain tapi perkhidmatan yang diterima tidak memuaskan termasuklah khidmat mengangkut sampah yang mana lori sampah jarang-jarang datang, mungkin datang 3 minggu sekali.... bukannya seminggu 3 kali!

Yang anehnya mengapa mesti ditunggu laporan/komplen baru disusuli dengan tindakan? Pihak yang dilantik wajar berikan khidmat yang berterusan seperti yang dipertanggungjawabkan dan diamanahkan kepada mereka.

Wednesday, April 7, 2010

Lot tanah UDA Holdings terbiar di BTHO


Foto di bawah telah diambil pada 07/4/2010 sebagai catatan.

Pemandangan yang menyakitkan mata dan hati ini berkeadaan demikian sudah lebih 10 tahun. Aku sebagai penduduk yang menghuni tidak jauh daripada hutan lalang ini terasa sangat malu kepada rakan-rakan dan pelawat yang datang ke sini kerana tempat ini bukanlah sembarangan taman perumahan kerana ia adalah Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor.

Lalang atau rumput seperti tidak terkawal lagi dibiar tumbuh melepasi ketinggian 6 kaki. Maknanya jika anda berdiri di dalam hutan lalang ini tak ada orang yang dapat melihat anda berada di situ.



Kadang-kadang aku terfikir juga dibiarkan saja kawasan ini semak kerana di situ boleh dijadikan sarang atau tempat tinggal unggas yang bunyi berkicauan memecah sunyi di pagi hari. Tapi ada waktunya terfikir pula jika binatang buas seperti ular berbisa menghuni di dalamnya. Yang pastinya anjing-anjing liar tinggal di dalamnya.

Gambar-gambar di bawah pula telah diambil lebih setahun lalu.

Jika ada petugas kontrak yang datang memotong rumput, mereka hanya datang beberapa bulan sekali sedangkan lalang tumbuh begitu cepat. Setiap kali petugas-petugas itu datang ku perhatikan bahawa mereka tidak siapkan sepenuhnya kerja menebas kawasan ini sebaliknya mereka lari meninggalkan tapak setelah menyiapkan sekitar 80 persen. Kini mereka tidak datang-datang lagi.

Pernah berlaku kebakaran lalang di dalam kawasan ini. Tidak pasti bagaimana ianya terbakar. Namun dalam keadaan cuaca panas hingga mencecah 39C tidak mustahil kebakaran berlaku. Pihak bomba sudah beberapa kali dikejarkan ke sini untuk memadamkan kebakaran tersebut.