Wednesday, April 7, 2010

Lot tanah UDA Holdings terbiar di BTHO


Foto di bawah telah diambil pada 07/4/2010 sebagai catatan.

Pemandangan yang menyakitkan mata dan hati ini berkeadaan demikian sudah lebih 10 tahun. Aku sebagai penduduk yang menghuni tidak jauh daripada hutan lalang ini terasa sangat malu kepada rakan-rakan dan pelawat yang datang ke sini kerana tempat ini bukanlah sembarangan taman perumahan kerana ia adalah Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor.

Lalang atau rumput seperti tidak terkawal lagi dibiar tumbuh melepasi ketinggian 6 kaki. Maknanya jika anda berdiri di dalam hutan lalang ini tak ada orang yang dapat melihat anda berada di situ.



Kadang-kadang aku terfikir juga dibiarkan saja kawasan ini semak kerana di situ boleh dijadikan sarang atau tempat tinggal unggas yang bunyi berkicauan memecah sunyi di pagi hari. Tapi ada waktunya terfikir pula jika binatang buas seperti ular berbisa menghuni di dalamnya. Yang pastinya anjing-anjing liar tinggal di dalamnya.

Gambar-gambar di bawah pula telah diambil lebih setahun lalu.

Jika ada petugas kontrak yang datang memotong rumput, mereka hanya datang beberapa bulan sekali sedangkan lalang tumbuh begitu cepat. Setiap kali petugas-petugas itu datang ku perhatikan bahawa mereka tidak siapkan sepenuhnya kerja menebas kawasan ini sebaliknya mereka lari meninggalkan tapak setelah menyiapkan sekitar 80 persen. Kini mereka tidak datang-datang lagi.

Pernah berlaku kebakaran lalang di dalam kawasan ini. Tidak pasti bagaimana ianya terbakar. Namun dalam keadaan cuaca panas hingga mencecah 39C tidak mustahil kebakaran berlaku. Pihak bomba sudah beberapa kali dikejarkan ke sini untuk memadamkan kebakaran tersebut.