Wednesday, August 4, 2010

Tidak tahan cabaran


Kontraktor yang dilantik oleh Majlis Perbandaran Kajang nampaknya telah menghantar dua orang pekerja mereka untuk membersihkan kawasan yang dipenuhi rumput panjang di lot kosong tanah milik UDA Holdings Berhad. Tindakan ini tentunya ada kaitan dengan bil cukai pintu yang perlu dijelaskan oleh pemilik kediaman pada hujung bulan Ogos. Mungkin ada pihak yang membuat komplen atau itulah amalan yang boleh dikaitkan apabila bil cukai pintu dikeluarkan oleh pihak Majlis.



Pada 31 Julai 2010, penulis dapat melihat dua orang pekerja hadir di perkarangan lot kosong tanah milik UDA Holdings Berhad. Mereka membawa peralatan mesin pemotong rumput. Apapun di atas alasan yang dapat pembaca mengagak sendiri, pengarang tidak berani menghala lensa kamera ke arah mereka sewaktu mereka sedang menebas rumput.

Untuk memotong rumput yang hampir setahun tumbuh tidak disentuh ini pasti menguji ketabahan sesiapa juga yang memotongnya jika mereka menggunakan mesin alat pemotong yang digalas di atas bahu.


Seperti yang dapat dijangkakan iaitu selepas tiga hari berkerja memotong rumput yang panjang itu, pekerja-pekerja itu tidak hadir lagi. Luas kawasan yang berjaya ditebas ialah lebih kurang 20 persen daripada keseluruhan kawasan tersebut. Tahun lalu mereka meninggalkan 20 persen tapi pada tahun ini mereka cabut lari meninggalkan 80 persen baki yang belum ditebas.

Persoalannya, adakah pihak kontraktor membuat tuntutan penuh untuk kerja yang tidak siap dilaksanakan itu?

Jika pihak kontraktor berkenaan mendapat maklumat ini daripada sesiapa juga anggaplah ini satu maklumbalas agar perkara seperti ini tidak diulangi oleh pekerja-pekerja tuan pada masa akan datang.

Yang pastinya pemandangan yang memalukan ini akan terus menyakitkan mata serta hati penduduk kawasan ini.